Kenapa Lelaki dapat 2 bahagian dalam pembahagian harta pusaka?
Faraid mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta). Lelaki pula akan mendapat 2 bahagian dalam pembahagian harta ini.
Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
- Tanah
- Bangunan (rumah).
- Barang kemas (emas, perak dll).
- Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
- Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.
Kenapa Lelaki dapat 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian dalam pembahagian harta pusaka?
Firman Allah S.W.T:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧﴾
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). Surah al-Nisa’ (7)
Ayat ini menerangkan bahawa pada dasarnya Allah S.W.T memberitahu bahawa apabila meninggalnya seseorang itu, maka harta peninggalannya akan diwarisi oleh para warisnya yang berhak, dan dijelaskan bahawa setiap orang baik lelaki mahupun perempuan ada bahagian masing-masing dalam perwarisan ini. Kemudian ayat ini dijelaskan lagi dalam perihal bahagian anak lelaki dan anak perempuan melalui firmanNYa:
يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ
Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Surah al-Nisa’ (11)
Ayat ini merupakan salah satu ayat bagi penjelasan mengenai urusan perwarisan harta pusaka atau lebih dikenali dengan faraid atau mawarith. Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa bahagian pusaka bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Ini bermakna bahagian lelaki dua kali ganda lebih banyak berbanding bahagian perempuan.
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi ketikamana menafsirkan ayat ini berkata, Allah S.W.T menjadikan bahagian perwarisan bagi perempuan sebagai kayu ukur iaitu dengan cara bahagian lelaki ditentukan dengan melihat kayu ukur iaitu bahagian perempuan, maka jadilah bahagian bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Lalu ketika beliau ditanya, dimanakah keadilannya di dalam ayat ini yang jelas menunjukkan kurangnya nisab bagi perempuan?
Maka syeikh menjawab bahawa seorang suami dituntut untuk memberi nafkah kepada isterinya, begitu juga seorang lelaki dituntut untuk menafkahi seorang perempuan, maka separuh bahagian lelaki (bagi perempuan) adalah cukup baginya walaupun dia belum berkahwin, sehinggalah perempuan tersebut berkahwin dan bahagiannya itu akan tetap bersamanya kerana suaminya yang perlu menafkahinya. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi; 4/2025].
Dr Wahbah Zuhaili berkata di dalam tafsirnya, bahagian anak lelaki bersamaan dengan dua bahagian anak perempuan adalah kerana para lelaki memiliki kewajipan memberi nafkah, bekerja menanggung berbagai tanggungan yang berat dan membayar mahar. Sedangkan perempuan sama sekali tidak dibebani kewajipan memberi nafkah kepada siapa pun, sama ada ia sebagai anak perempuan, saudara perempuan, ibu, isteri atau sebagainya. Perempuan hanya menafkahi dirinya sendiri setelah dia besar atau sudah baligh jika dia belum bersuami. [Lihat: Tafsir al-Munir; 4/273].
Jelaslah bahawa, berdasarkan dalil di atas, lelaki mendapat 2 bahagian memandangkan golongan lelaki memiliki kewajipan untuk memberi nafkah sedangkan golongan perempuan tidak mempunyai kewajiban untuk membayar nafkah.
Untuk pelbagai info boleh follow telegram dan web di bawah. Sumber bahan di atas daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan di sumber
- Berminat belajar trading saham percuma? pendapatan 3-5 angka sebulan? Layari entrybiru.com
- Sedang mencari tawaran kerja kosong kerajaan, GLC atau swasta? Layari travula.com.my
- Bagi yang mahu mendapatkan info tambahan, rujuk pada telegram di https://t.me/kerjakosongbiasiswa
- Untuk lebih kefahaman berkenaan dengan pelaburan saham dan belajar saham secara free boleh join dan like fb dan Telegram – https://t.me/ilmusahamkriptofree.
- Follow kami di Facebook di https://www.facebook.com/SumberPendidikanGuru dan Follow kami di telegram untuk pelbagai info dan maklumat terkini serta bahan -> https://telegram.me/sumberpendidikan
Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam urusan permohonan sama ada pelaburan, permohonan kerja, biasiswa ataupun sambung belajar.