Penggunaan sijil sakit swasta dan sijil sakit kerajaan adalah berlainan sekali di dalam perkhidmatan pendidikan. Terdapat pelbagai tatacara dan panduan yang perlu dipatuhi oleh pegawai untuk mengelakkan dikenakan pemotongan emolumen ataupun tatatertib.
Berkenaan dengan sijil sakit, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
- Sijil cuti sakit hanyalah untuk tempoh 180 hari dalam satu tahun sama ada daripada hospital/klinik kerajaan dan swasta.
- 90 hari pertama daripada 180 hari boleh diluluskan oleh Ketua Jabatan manakala 90 hari seterusnya hendaklah diluluskan oleh Ketua Setiusaha.
- Cuti sakit daripada hospital/klinik luar hanyalah 15 hari bagi kategori pesakit luar iaitu pesakit yang tidak perlu diwadkan.
- Cuti sakit kepada pesakit kategori pesakit dalam (diwadkan) yang dikeluarkan oleh hospital/klinik swasta tidak perlu tandatangan pegawai perubatan kerajaan jika berjumlah tidak lebih 180 hari.
Perkara seterusnya adalah berkenaan dengan sama ada siji cuti sakit swasta tersebut memerlukan tandatangan timbal daripada pegawai perubatan kerajaan atau tidak.
- Situasi A. Jika pegawai dimasukkan di dalam wad hospital swasta dan dirawat diwad melebihi 15 hari, sijil cuti sakit tersebut tidak memerlukan tandatangan timbal kerana menerima rawatan di wad.
- Situasi B. Pada satu sijil sakit swasta, pegawai telah diberikan rehat selama 20 hari dan tidak tinggal di wad, maka sijil sakit tersebut memerlukan tandatangan pegawai perubatan kerajaan.
- Situasi C. Pegawai telah diberikan 18 hari rehat dalam sijil sakit swasta, di mana dalam sijil tersebut, pegawai telah mendapat rawatan diwad selama 3 hari dan selebihnya sebanyak 15 hari telah berehat di rumah. Pada keadaan ini, sijil sakit tersebut tidak memerlukan tandatangan pegawai perubatan kerajaan kerana belum melebihi 15 hari cuti sakit swasta yang dibenarkan oleh perkhidmatan. 3 hari tersebut tidak dikira kerana dirawat di wad.
Berdasarkan situasi, dapat difahami jika pegawai mendapatkan rawatan di wad di hospital/klinik swasta, sijil sakit yang dikeluarkan tidak memerlukan tandatangan timbal daripada pegawai perubatan kerajaan. Tandatangan timbal daripada pegawai perubatan kerajaan hanya diperlukan jika pegawai tersebut hanya berehat di rumah melebih tempoh 15 hari yang dibenarkan.
Jika pegawai tinggal di wad swasta melebihi 180 hari, maka tandatangan timbal daripada pegawai perubatan kerajaan diperlukan.
Untuk maklumat lanjut boleh baca pada pekeliling perkhidmatan bilangan 2 tahun 2006.
[ Sebarang sumbangan bahan pendidikan, masalah, aduan, keperluan dan perkara berkaitan laman web (website) boleh hubungi kami di emel helpdesk@sumberpendidikan.com ]