Hukum penggunaan vaksin mengikut agama Islam.
Sekarang heboh berkenaan pemberian imunisasi kepada anak. Ada yang mengatakan haram dan ada yang mengatakan ianya harus. Mari kita lihat fatwa dan hujah daripada tokoh agamawan terkenal terhadap mengharuskan pemberian vaksin kepada anak. Bagi sesiapa yang mahu mengetahui apa itu vaksin klik sini
1- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Vaksin untuk menghalang kecacatan anggota badan pada diri kanak-kanak adalah satu jenis dari rawatan pencegahan dan ia merupakan suatu yang dituntut dari segi syarak. Rujuk www.dar-alifta.org
2- Union Of African Muslim Sholars
Di dalam sebuah artikel yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Afrika, mereka membuat suatu kenyataan seperti berikut: Adalah vaksin itu secara umumnya, dan juga vaksin kepada anak-anak khususnya, untuk memelihara mereka daripada penyakit-penyakit merupakan suatu kewajipan dalam agama bahkan ia suatu keperluan insani. Rujuk africanulama.org
3- Majma’ al-Feqh al-Islami
Majma’ Fiqh Islami telahpun membuat satu deklarasi berkenaan isu vaksin yang bertajuk “Penjelasan Untuk Menggalakkan Vaksinasi Bagi Menghalang Kecacatan Anggota Pada Kanak-kanak”. Dalam kenyataan panjang berserta tujuh poin penting, pihak Majmak telahpun menyatakan akan keharusan vaksinasi terhadap kanak-kanak bagi mengelakkan kecacatan pada tubuh badan mereka. Sila lihat www.iifa-aifi.org/2647.html
4- Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra (sejenis vaksin bagi melindungi bayi berusia sembilan bulan) dengan sighah seperti berikut :
- Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (toyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.
- Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal.
- Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra adalah diharuskan.
Kedua: Tokoh Ulama Kontemporari
1- Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz
Ditanyakan kepada Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah tentang hukum berubat sebelum berlakunya sebarang penyakit seperti vaksin. Maka jawab al-Syeikh:
Tidak mengapa untuk melakukan rawatan apabila ditakuti berlakunya penyakit disebabkan terdapatnya wabak atau faktor-faktor lain yang ditakuti berlakunya penyakit disebabkannya. Maka tidak ada masalah untuk memberikan ubat atau rawatan bagi menghalang sesuatu bala yang ditakuti berlaku. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ
Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudharatan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir.
Riwayat Muslim 2047
Hadis ini daripada bab menghalangnya bala bencana sebelum ia berlaku. Maka demikianlah apabila ditakuti berlakunya sesuatu penyakit lalu diberikan vaksin untuk menghalang wabak yang berlaku di dalam sebuah negara ataupun di mana sahaja maka tiada sebarang masalah pada hal tersebut. Rujuk Fatawa Ibn Baaz (6/21).
2- Al-Syeikh Dr. Ali Jumaah
Dr. Ali Jumaah ditanyakan berkenaan hukum melakukan vaksin dengan tujuan menghalang penyakit berlaku kepada tubuh badan kanak-kanak. Adakah ia dibenarkan ataupun tidak ? Maka beliau menjawab:
Vaksin untuk menghalang sebarang penyakit kepada kanak-kanak adalah suatu jenis dari rawatan yang bersifat perlindungan dan ia merupakan sesuatu yang dituntut dari segi syarak serta digesa oleh hukum-hakam syariah islamiah. Wajib ke atas kaum muslimin untuk saling membantu dalam usaha memberikan vaksin kepada anak-anak kecil mereka serta memelihara mereka dari penyakit-penyakit yang akan menimpa sekiranya ia tidak dilakukan ke atas mereka. Rujuk www.dar-alifta.org.
3- Syeikh Sa’ad bin Naasir al-Syathri
Kata beliau hafizahullah: Di antara permasalahan yang berkaitan dengan wabak-wabak penyakit adalah: Hukum mengambil suntikan vaksin yang diberikan dengan tujuan untuk mencegah daripada penyakit. Maka kami katakan:
Vaksin yang diberikan ini terdiri daripada:
Sesuatu yang telah dikenalpasti kesannya berdasarkan penyelidikan dan ujikaji bahawa ianya dapat mencegah penyakit dengan izin Allah. Perkara ini baginya hukum-hakam rawatan bahkan ia satu jenis daripada jenis-jenis perubatan. Ini kerana ia termasuk di dalam sabda Rasulullah S.A.W: “Berubatlah kalian”. Maka ia juga turut mengambil hukum rawatan.
Kata beliau lagi: “Yang zahirnya, amalan ini (penggunaan vaksin) tidak ada masalah padanya. Bahkan ia termasuk di dalam amalan qurbah (ibadah). Ini kerana masuknya kemudaratan di dalam ini tidak menyebabkan mudharat yang lain bahkan ia membawa kemaslahatan untuk mencegah individu yang diberikan vaksin ini dari sebarang penyakit yang teruk. Inilah bukti bahawa ianya tidak dilarang”. Rujuk Ceramah Bertajuk Hukum-Hakam Feqh Yang Berkaitan Dengan Wabak.
4- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah ditanyakan di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi. Maka jawab beliau:
Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardhu. Kerfadhuan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya. Aku pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang solat tarawih bersama kami dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat sedangkan dia Masha Allah masih sihat. Bila ditanya dia menjawab: Tanyalah kepada si ayah. Lalu kata si ayah: Kami abaikan memberi vaksin kepadanya semasa kecil lalu dia ditimpa dengan anggota badan yang tidak berfungsi. Rujuk link berikut https://goo.gl/ji7L9x
5- Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin
Syeikh Ibn al-Uthaimin rahimahullah pernah menyebutkan bahawa adakah suntikan vaksin untuk penyakit meningitis (keradangan pada selaput otak) dikira sebagai menafikan konsep tawakkal ? Ini disebabkan sebahagian orang ada yang berpendapat perbuatan tersebut haram kerana ia menafikan tawakkal. Lalu jawab Syeikh:
Sesungguhnya perbuatan ini (suntikan vaksin) termasuk daripada konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bersandar kepada Allah bersama-sama dengan mengambil sebab-sebab tertentu. Oleh kerana itulah ketua bagi golongan yang bertawakkal Muhammad S.A.W apabila pergi memerangi musuh baginda memakai perisai besi. Inilah perbuatan mencegah dari sebarang keburukan. Menggunakan suntikan vaksin ini termasuklah melakukan sebab-sebab bermanfaat yang Allah mengelakkan keburukan dengannya. Rujuk pautan yang berikut https://goo.gl/2iThC7
6- Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Negeri Kelantan
Kata beliau: Islam mengharuskan penggunaan vaksin walaupun ia mengandungi bahan terlarang jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik. Kata beliau lagi: Vaksin ini memang diharuskan oleh Islam kerana ia merupakan satu daripada al-Wiqoyah iaitu satu (kaedah) penjagaan (kesihatan) dalam Islam. Rujuk sumber Bernama.
Berdasarkan hujah dan ilmu yang disampaikan di atas, kini bergantung kepada ibubapa dan penjaga untuk menentukan sama ada mahu anak divaksinkan ataupun tidak mahu anak diberikan suntikan vaksin ketika kecil. Anak anda adalah amanah daripada Allah s.w.t.
Wallahualam
[ Sebarang sumbangan bahan pendidikan, masalah, aduan, keperluan dan perkara berkaitan laman web (website) boleh hubungi kami di emel helpdesk@sumberpendidikan.com / sumberpendidikanguru@gmail.com]