Maqasid Syariah Dan Kaedah Feqh Dalam Isu Vaksin
Di antara maqasid yang sangat diberikan penekanan di dalam Islam ialah hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa). Kita disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dengan usaha makan, minum, serta memberikan hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan padanya. Demikian Islam juga mengharamkan perbuatan menyebabkan nyawa berada di dalam kebinasaan.
Di antara kaedah yang boleh digunapakai bagi isu vaksin ini adalah:
Pertama: Dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.
Terdapat sebuah kaedah masyhur yang telah disebutkan oleh para ulama feqh iaitu:
الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات
Maksudnya: Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.
Rujuk al-Asybah wal-Nazhoir, Ibn Nujaim. Hlm. 85.
Contoh bagi kaedah ini: Jika seseorang berada dalam keadaan tiada makanan disekitarnya melainkan bangkai, maka dia dibenarkan untuk memakan makanan tersebut sekalipun bangkai itu pada asal hukumnya adalah haram. Ini bagi mengelakkan kematian dirinya disebabkan kelaparan.
Kedua: Keadaan dharurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur.
الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Dharurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.
Contoh bagi kaedah di atas: Jika seseorang berada dalam keadaan tiada makanan disekitarnya melainkan bangkai, maka dia dibenarkan untuk memakan makanan tersebut sekalipun bangkai itu pada asal hukumnya adalah haram.
Maka timbul persoalan sama ada bangkai tersebut boleh dimakan keseluruhannya ataupun sekadar cukup untuk kelangsungan hidup ? Maka jawapannya adalah seperti yang dinyatakan di dalam kaedah iaitu makan dengan kadar untuk menghilangkan dharurat sahaja dan bukanlah lebih dari itu.
Apabila dikaitkan dengan isu vaksin, maka kita mengambil atau menggunakannya dengan kadar yang perlu sahaja untuk mengatasi dharurat sahaja.
Ketiga: Apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang mashyur:
أَنَّ أَدْنَى المَفْسَدَتَين يُرتَكَب مِنْ أَجْلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا إِذَا كَانَ لَابُدَّ مِنْ مُوَافَقَةِ إِحْدَاهُمَا
Maksudnya: Sesungguhnya mafsadah yang paling ringan di antara dua mafsadah itu dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan mafsadah yang lebih besar apabila tidak boleh untuk disepakati antara salah satunya.
Rujuk al-Asybah wal-Nazhoir, al-Subki (1/45).
Contoh mudah yang boleh kita ambil berkaitan dengan penggunaan kaedah di atas dalam hal perubatan adalah: Seorang doktor memberikan saranan kepada pesakitnya untuk dipotong kakinya. Ini bertujuan supaya penyakit itu tidak merebak ke anggota badan yang lain. Sekalipun perbuatan memotong kaki ini memberi mudharat kepada pesakit, akan tetapi demi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar berlaku maka kemudharatan yang lebih kecil dari itu perlu dilakukan.
Justeru, dalam isu vaksinasi ini sekalipun terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka ia adalah bertujuan untuk mengelakkan kesan mudharat yang lebih besar jika ianya tidak diambil.
[ Sebarang sumbangan bahan pendidikan, masalah, aduan, keperluan dan perkara berkaitan laman web (website) boleh hubungi kami di emel helpdesk@sumberpendidikan.com / sumberpendidikanguru@gmail.com]