SKPMg2 Standar 4 Pembelajaran dan Pemudahcaraan
Sekarang ini di tahun 2017 heboh mengenai pelaksanaan SKPMg2 bagi menggantikan SKPM (2010). SKPMg2 ini juga masih di bawah pemantauan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).
Di bawah SKPMg2 ini terdapat beberapa standard yang berkaitan dengan sekolah. Antara standard yang berkaitan dengan guru adalah standar 4 iaitu Pembelajaran dan Pemudahcaraan.
Standard 4 Pembelajaran dan pemudahcaraan
Guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan meningkatkan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan.
Terdapat enam aspek berdasarkan standard 4 ini.
1.Aspek pertama ialah guru sebagai perancang.
Guru bertindak sebagai perancang untuk memastikan kesediaan dan persediaan yang rapi dalam melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Bagi mencapai standard ini, guru perlu menyediakan RPH, menentukan kaedah pentaksiran dan menyediakan sumber pendidikan mengikut keupayaan murid, peruntukan masa dan mematuhi arahan yang berkuat kuasa
2. Aspek kedua ialah guru sebagai pengawal.
Guru bertindak sebagai pengawal pelaksanaan PdPc untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran mengikut perancangan. Bagi mencapai standard ini, guru perlu mengelola isi pelajaran dan peruntukan masa serta memberi peluang kepada penyertaan aktif murid dengan menepati objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan dalam PdPc
3. Aspek ketiga ialah guru sebagai pembimbing.
Guru bertindak sebagai pembimbing untuk membolehkan murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pelajaran. Mengawasi komunikasi dan perlakuan murid, menyusun atur kedudukan murid dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan mengikut kesesuaian dan keperluan, secara berhemah, menyeluruh dan berterusan
Bagi mencapai standard ini, guru perlu memberi tunjuk ajar dalam menguasai isi pelajaran dan kemahiran, memandu murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan menggunakan sumber pendidikan serta menggabung jalin isi pelajaran dengan kemahiran/mata pelajaran lain mengikut keperluan dan keupayaan murid dengan betul, tepat, secara berhemah dan bersungguh-sungguh
4.Aspek keempat ialah guru sebagai pendorong.
Guru bertindak sebagai pendorong untuk meningkatkan motivasi dan kemahiran insaniah (soft skills) murid.
Bagi mencapai standard ini, guru perlu merangsang murid berkomunikasi dan berkolaboratif, mengemukakan soalan yang menjurus ke arah pemikiran kritis dan kreatif dan membuat keputusan atau menyelesaikan masalah, mewujudkan peluang untuk murid memimpin dan mengemukakan soalan berkaitan isi pelajaran serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara kendiri berdasarkan objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan. Guru juga perlu memberi pujian, galakan, penghargaan dan keyakinan serta prihatin terhadap keperluan murid secara berhemah, menyeluruh dan berterusan.
5. Aspek kelima ialah guru sebagai penilai.
Guru berperanan sebagai penilai untuk mengesan tahap penguasaan murid.
Bagi mencapai standard ini, guru perlu menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran, menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan, memberi tugasan, membuat refleksi serta menyemak hasil kerja murid berdasarkan objektif pelajaran, mengikut ketetapan pelaksanaan pentaksiran yang berkuat kuasa, secara menyeluruh dan berterusan.
6. Aspek keenam ialah Murid sebagai pembelajar aktif.
Murid bertindak sebagai pembelajar aktif untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran serta mengamalkan nilai positif.
Bagi mencapai standard ini, guru perlu memberi respons, berkomunikasi dan melaksanakan aktiviti secara kolaboratif, berpemikiran kritis dan kreatif, mengemukakan soalan, menyelesaikan masalah dan mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan berdasarkan objektif pelajaran, secara aktif, yakin dan berhemah
Semoga bermanfaat kepada guru.
Jangan lupa share kepada kawan2 ya pada group whasapp dan telegram. Klik sahaja button share tersebut. Sama-sama bantu membantu antara satu sama lain.
Follow kami di Facebook di https://www.facebook.com/SumberPendidikanGuru dan Follow kami di telegram untuk pelbagai info dan maklumat terkini serta bahan -> https://telegram.me/sumberpendidikan
[ Sebarang sumbangan bahan pendidikan, masalah, aduan, keperluan dan perkara berkaitan laman web (website) boleh hubungi kami di emel helpdesk@sumberpendidikan.com / sumberpendidikanguru@gmail.com]