Nota SPP Pendidikan Rendah
Perkongsian kali ini berkenaan dengan persediaan untuk temuduga SPP iaitu Nota SPP Pendidikan Prasekolah. Semoga memberi nilai tambah kepada calon berkenaan dengan pendidikan di Malaysia.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan info dan nota persediaan temuduga SPP Join Channel – https://t.me/notatemudugaspp
Pendaftaran
Murid warganegara dan bukan warganegara yang layak, yang genap berumur enam tahun pada tahun semasa persekolahan layak memohon ke Tahun 1.
Contoh:
Umur Persekolahan Tahun 1/2019 adalah bagi kanak-kanak warganegara yang lahir pada 2 Januari 2012 hingga 1 Januari 2013.
Permohonan ke Tahun 1 ada 2 mod, iaitu:
- Secara atas talian (online) melalui portal: https://public.moe.gov.my/
- Secara manual – pendaftaran di sekolah.
Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib
Pengenalan
Dasar ini bertujuan memastikan setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mestilah mendaftarkannya di sekolah rendah. Di samping itu juga, ibu bapa perlu memastikan anak yang didaftarkan akan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan rendah.
Penyataan Dasar
Pendidikan wajib adalah satu undang-undang yang memerlukan setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa, anak itu didaftarkan di sekolah rendah. Tempoh pendidikan wajib adalah selama enam tahun, iaitu tempoh pendidikan rendah.
Punca Kuasa
- Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) : Subseksyen 29A(1), (2), (3) dan (4)
- Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002.
- Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah tahun 2003.
Kaedah Pelaksanaan
- Melaksanakan proses pendaftaran yang bermula dengan permohonan dan pengesahan sebelum kanak-kanak mendaftar pada hari pertama persekolahan.
- Mematuhi kriteria pelaksanaan pendidikan wajib dari segi tempoh pendidikan dan kanak-kanak yang terlibat.
- Peringatan dari segi implikasi perundangan berikutan kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikuti pendidikan wajib.
Penalti
Kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikut pendidikan wajib merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Ibu bapa yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Dasar Pengoperasian Pengecualian Daripada Mengikuti Pendidikan Wajib (Penangguhan Ke Tahun 1)
Penyataan Dasar
Penangguhan ke Tahun 1 adalah merupakan satu pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib berdasarkan kohort umur yang diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukannya. Namun demikian, penangguhan ini hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak. Persekolahan biasa adalah diutamakan kepada kanak-kanak kerana ia merupakan satu cara untuk kanak-kanak berinteraksi di antara satu sama lain.
Punca Kuasa
- Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
Subseksyen 29A(3) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan “Menteri boleh, jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian”, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.
- Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002.
- Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah Tahun 2003.
Kaedah Pelaksanaan
- Kes permohonan penangguhan kemasukan ke Tahun 1;
‘Diputuskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) selaku Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru’.
- Kategori permohonan pengecualian ialah :
- kes-kes yang tertakluk di bawah Seksyen 29A – merupakan permohonan ibu bapa kohort murid yang lahir pada atau selepas 2 Januari hingga 15 Januari tahun persekolahan semasa; dan
- kes-kes yang tidak tertakluk di bawah Seksyen 29A – merupakan permohonan ibu bapa murid yang lahir sebelum 2 Januari tahun persekolahan semasa.
- Pelaksanaan Pengecualian Pendidikan Wajib
Pemohon hendaklah mengemukakan alasan-alasan yang munasabah berdasarkan prinsip utama pengecualian kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
- Golongan murid yang diberi pertimbangan khas untuk pengecualian ialah:
4.1 murid kaum Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman dan secara tradisinya masih mengamalkan hidup secara berpindah randah;
4.2 murid istimewa seperti yang ditetapkan, contohnya melalui Peraturan-Peraturan Pendidikan Khas di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550); dan
4.3 lain-lain golongan yang ditentukan oleh KPPM.
- Permohonan yang boleh dipertimbangkan untuk pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib di peringkat rendah adalah seperti berikut:
5.1 murid yang mencapai umur enam tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa yang memohon untuk menangguhkan kemasukan ke Tahun 1 ke tahun berikutnya; dan
5.2 lain-lain permohonan.
- Permohonan dikemukakan oleh ibu bapa/penjaga kanak-kanak kepada jabatan pendidikan negeri.
- Murid mesti mengikuti pendidikan rendah di sekolah sehingga keputusan permohonan penangguhan diluluskan.
- Permohonan menggunakan borang permohonan (Borang PPW 2) dan dokumen sokongan yang disahkan:
8.1 1 salinan kad pengenalan bapa (depan dan belakang);
8.2 1 salinan kad pengenalan ibu (depan dan belakang);
8.3 1 salinan sijil lahir anak (depan dan belakang);
8.4 1 salinan bukti pendaftaran kemasukan ke Tahun 1;
8.5 1 salinan asal laporan doktor; dan
8.6 dokumen lain jika berkenaan.
Tarikh Kuatkuasa
28 Jun 2003
Dasar Pengoperasian Kemasukan Awal Kanak-Kanak Di Bawah Umur Ke Tahun 1
Penyataan Dasar
Kemasukan awal kanak-kanak di bawah umur ke Tahun 1 pada setiap tahun persekolahan berdasarkan permohonan daripada ibubapa. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertimbangkan permohonan kemasukan awal bagi kanak-kanak bawah umur warganegara Malaysia yang lahir mulai 2 Januari hingga 15 Januari pada tahun persekolahan berkenaan.
Punca Kuasa
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/1998 – Kelonggaran Syarat Kemasukan Kanak-Kanak Di Bawah Umur Ke Tahun 1 bertarikh 7 Mei 1998.
Kaedah Pelaksanaan
- Kanak-kanak telah mengikuti mengikuti pendidikan prasekolah/ tadika.
- Kanak-kanak mencapai tahap yang munasabah dari segi ‘mental and reading age’.
- Kanak-kanak perlu menghadiri sesi modul saringan dan modul temu bual yang dikendalikan oleh pegawai di jabatan pendidikan negeri bagi mempastikan kesahihan perkara 1 dan 2.
- Pertimbangan permohonan adalah berdasarkan merit ’case by case’ tertakluk kepada kekosongan tempat di sekolah yang dimohon.
- Permohonan hendaklah dikemukakan kepada jabatan pendidikan negeri berkenaan dengan menyertakan bersama-sama sijil lahir, surat pengesahan prasekolah/tadika dan laporan kemajuan murid yang telah disahkan.
- Jabatan pendidikan negeri hendaklah memanjangkan semua permohonan dan dokumen sokongan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.
- Semua permohonan kemasukan murid di bawah umur ke Tahun 1 hendaklah diproses oleh jabatan pendidikan negeri terlebih dahulu sebelum dipanjangkan ke KPM untuk pertimbangan.
- Keputusan Jawatankuasa Penilaian KPM adalah muktamad.
Tarikh Kuat Kuasa:
7 Mei 1998
Untuk pelbagai info boleh follow telegram di bawah
- Bagi yang mahu mendapatkan info tambahan, rujuk pada telegram di https://t.me/kerjakosongbiasiswa
- Untuk lebih kefahaman berkenaan dengan pelaburan saham dan belajar saham secara free boleh join dan like fb dan Telegram – https://t.me/ilmusahamkriptofree.
- Follow kami di Facebook di https://www.facebook.com/SumberPendidikanGuru dan Follow kami di telegram untuk pelbagai info dan maklumat terkini serta bahan -> https://telegram.me/sumberpendidikan
Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam urusan permohonan sama ada permohonan kerja, biasiswa ataupun sambung belajar.