Nota SPP Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Antara perkara penting yang perlu dihafal oleh mereka yang bergelar guru adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan FPK. Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988, ia menjadi satu dokumen rasmi kerajaan yang amat penting. Ia menggariskan matlamat kerajaan terhadap sistem pendidikan negara kita. Maka dengan itu, setiap masyarakat amnya, dan setiap warga pendidik menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai salah satu garis panduan dalam sistem pendidikan negara ini.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan info dan nota persediaan temuduga SPP Join Channel –
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia umumnya. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menderap satu langkah ke kedudukan yang menjurus kehadapan dengan mengungkapkan secara jelas dan tepat prinsip serta nilai-nilai asas. Prinsip dan nilai asas inilah yang mendasari dan membentuk setiap sistem pendidikan di Malaysia. Ini termasuklah daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu daripada sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi lebih daripada 10 elemen di dalamnya iaitu kira-kira 14 elemen penting. Elemen-elemen inilah yang bergabung dan bersatu sehingga akhirnya membentuk sebuah falsafah atau garis panduan yang digunapakai dalam sistem pendidikan di negara kita. Elemen-elemen ini masing-masing mempunyai maksud-maksudnya yang tersirat. Mari kita lihat dengan lebih jelas maksud elemen-elemen tersebut seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan berikut :
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Elemen pertama yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pendidikan adalah suatu usaha berterusan. Ini bermaksud pendidikan merupakan satu proses pemorelahan dan pemindahan ilmu serta kemahiran dan nilai murni yang berlaku secara berterusan dari kecil sehinggalah ke akhir hayat. Jadi, pendidikan yang bermula dari awal kanak-kanak amatlah penting. Ini adalah untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Sahsiah yang dibentuk kemudiannya akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Apabila tamat persekolahan, setiap individu masih juga perlu untuk meneruskan peningkatan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Oleh itu, proses pendidikan yang berterusan ini mampu untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.
Seterusnya elemen perkembangan potensi individu pula bermaksud setiap individu telah pun dianugerahkan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam dan tidak diperkembangkan. Oleh itu, bakat, potensi dan kebolehan ini sebenarnya dapat dicungkil, dipupuk atau dikembangkan lagi bagi menyerlahkannya. Bakat, potensi dan kebolehan seseorang individu itu boleh dijelmakan dan diserlahkan melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Dengan cara ini, organisasi social tersebut dapat mengesan dan memperkembangkan lagi potensi individu tersebut ke peringkat yang lebih baik. serta Oleh sebab itu, setiap individu perlukan pendidikan kerana pendidikan boleh memperkembangkan lagi bakat, potensi dan kebolehan mereka. Maka dengan bakat tersebut, individu dapat menyumbang ke arah keharmonian dan kemakmuran hidup.
Elemen perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu pula bermaksud bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya perlu dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya, perkembangan bakat, potensi serta kebolehan mestilah merangkumi keempat-empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Elemen seterusnya pula ialah elemen insan yang seimbang dan harmonis. Elemen ini bermaksud setiap individu mestilah mempunyai ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada tuhan serta mempunyai akhlak yang terpuji (rohani) serta kesihatan diri yang baik (jasmani). Keempat-empat aspek tadi perlulah seimbang untuk menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis bukan sahaja dengan dirinya sendiri, malah juga dengan orang lain. Individu seperti ini tidak akan mempunyai sebarang masalah dan individu ini juga memiliki ketahan fizikal dan mental dalam menempuh apa juga cabaran kehidupan dan mampu menghadapi serta menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik.
Seterusnya, unsur intelek juga menjadi elemen penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Unsur intelek bermaksud mempunyai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Selain itu, setiap individu mestilah sentiasa berusaha untuk mengembangkan lagi ilmu yang benar yang telah dipelajari. Unsur intelek juga ialah mempunyai pelbagai kemahiran dalam berfikir iaitu secara kreatif, kritis, kritikal dan reflektif. Individu perlu berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitarannya untuk terus memastikan kemajuan dalam keluarga, masyarakat dan negara dan bagi menyebarluaskan lagi ilmu yang telah dipelajari.
Elemen seterusnya pula ialah unsur rohani. Salah satu unsur rohani ialah menyedari dan percaya kepada Tuhan. Ini adalah selari dengan prinsip Rukun Negara yang mesti ditepati oleh setiap rakyat di negara ini. Setiap agama menggalakkan umatnya melakukan perkara yang baik dan menjaga akhlak. Kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa bersyukur dengan pemberian Tuhan dengan menghargai nikmat tersebut dan tidak merungut-rungut. Kita juga hendaklah berpegang dengan nilai-nilai murni supaya dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat luar dan dalam khasnya. Kita dilarang melakukan perkara-perkara yang keji dilarang agama. Dengan adanya unsur rohani dalam diri setiap individu, maka kita dapat mencapai kecemerlangan di dunia juga di akhirat
Unsur emosi juga menjadi salah satu elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Maksudnya ialah setiap individu mempunyai emosi yang matang dan stabil. Emosi yang baik dan terjaga ini dapat menjana kehidupan yang aman damai. Implikasi emosi yang stabil ini juga ialah individu dapat memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang sesama insan. Maka apabila kehidupan yang aman damai dan kasih sayang antara sesama insan dapat diwujudkan, semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini dapat dicapai. Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan amatlah penting bagi mengeratkan serta mengukuhkan lagi kekuatan masyarakat kita yang berbilang kaum dan bangsa.
Elemen yang berikutnya pula ialah unsur jasmani. Unsur ini ialah menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal yang seharusnya ada pada setiap individu di negara kita. Setiap individu juga mestilah berupaya mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial. Selain dapat melahirkan individu yang mempunyai kesihatan fizikal yang baik, individu yang mempunyai kesihatan mental yang kukuh juga dapat dihasilkan. Sesuai dengan pepatah, ‘badan sihat, minda cergas’. Maka dengan menggunakan kemahiran kecergasan fizikal dan mental ini, ia dapat memanfaatkan masyarakat.
Selain itu, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan juga merupakan satu elemen yang amat penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita mesti mengakui tentang kewujudan Tuhan dan mengakui bahawa Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam. Manusia juga perlu menyedari bahawa manusia diciptakan untuk tujuan memakmurkan alam. Selain itu, kita juga mesti menyedari bahawa setiap fenomena alam merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Setiap individu mesti bertanggungjawab ke atas segala perbuatan dan tindakannya. Oleh itu, manusia perlu meningkatkan dan mengukuhkan kepercayaan beragama. Setiap individu juga mesti mengamalkan setiap ajaran agama yang dianutinya serta melakukankebaikan dan menghindari kejahatan.
Seterusnya, kita beralih pula kepada elemen rakyat Malaysia yang berilmu tinggi, Setiap individu mestilah menyintai ilmu pengetahuan. Jika kita cinta akan ilmu, kita akan berminat untuk menuntut pelbagai ilmu dan berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan kerana ilmu itu sangat luas.
Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, terdapat juga elemen rakyat Malaysia yang berketerampilan. Berketerampilan bermaksud mempunyai kecekapan dan kompetensi diri serta berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna. Setiap individu yang berketerampilan juga memiliki ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai kelayakan yang sesuai dalam pelaksanaan tugas. Individu ini menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi, cekap dan sempurna. Berketerampilan boleh dipupuk dalam setiap diri individu jika mempunyai kekuatan dalam intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia juga menjadi elemen Falasafah Pendidikan Kebangsaan. Berakhlak mulia ialah mempunyai perwatakan diri yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup. Individu berakhlak mulia menghayati nilai kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Oleh yang demikian, individu ini memahami nilai baik dan buruk serta menyedari akan kesan atas perbuatan baik dan buruk. Seterusnya, memberikan kesan kepada kehidupan seharian. Maka untuk itu, untuk memastikan kita hidup dalam masyarakat yang harmoni dan bersepadu, nilai-nilai moral yang baik perlu untuk menjamin masa depan negara.
Di samping itu, elemen rakyat Malaysia yang bertanggungjawab juga menjadi elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bertangjungjawab bermaksud boleh dipercayai serta menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Setiap indivdu perlulah menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah di samping sentiasa mempertingkatkan daya pengeluaran. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menjalankan tanggungjawab kita dan mematuhi rukun negara. Contohnya mematuhi undang-undang ataupun peraturan yang telah digubal oleh kerajaan.
Elemen seterusnya pula ialah elemen rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara merupakan elemen yang penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berfikiran waras dan berjiwa tenang serta tubuh badab yang sihat bagi menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar. Individu ini mempunyai daya ketahanan dan kesabaran kendiri yang kuat untuk menghadapi cabaran, masalah dan rintangan hidup. Setiap individu juga perlu berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan bertolak ansur bagi mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Untuk memberi sumbangan terhadap keharmonian negara kita perlu berusaha untuk memajukan ekonomi Negara dengan menggunakan sains dan teknologi serta ICT dengan landasan yang betul. Selain itu, kita perlu mengekalkan kestabilan politik dengan sikap toleransi yang menebal dan semangat kerjasama yang padu serta mematuhi perlembagaan dan peraturan negara.
Untuk pelbagai info boleh follow telegram di bawah
- Bagi yang mahu mendapatkan info tambahan, rujuk pada telegram di https://t.me/kerjakosongbiasiswa
- Untuk lebih kefahaman berkenaan dengan pelaburan saham dan belajar saham secara free boleh join dan like fb dan Telegram – https://t.me/ilmusahamkriptofree.
- Follow kami di Facebook di https://www.facebook.com/SumberPendidikanGuru dan Follow kami di telegram untuk pelbagai info dan maklumat terkini serta bahan -> https://telegram.me/sumberpendidikan
Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam urusan permohonan sama ada permohonan kerja, biasiswa ataupun sambung belajar.