Harta Sepencarian
Apakah dia harta sepencarian? Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama.Harta sepencarian juga dikenali sebagai carian laki bini, pencarian, Gono-gina, hareuta sihreukat, harta Suarang dan lain-lain.
Sebenarnya di Malaysia harta sepencarian ini berasal daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri di atas.
Adat Temenggung mentakrif harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh kedua-dua suami dan isteri semasa perkahwinan. Seandainya perkahwinan itu telah mencapai usia tiga tahun dan pasangan telah mempunyai anak, maka harta sepencarian adalah harta yang pasangan peroleh atau miliki sebelum mereka berkahwin.Mengikut prinsip asasnya, jika pasangan bercerai atau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia maka kedua-dua pihak berhak mendapat bahagian di dalam harta sepencarian tersebut (dalam hal perceraian) atau pasangan yang masih hidup berhak mendapatkan harta sepencarian (dalam hal kematian).
Pada dasarnya tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam. Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf. Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.
DALIL DAN PENDAPAT ULAMA’
Harta sepencarian bukan lagi soal adat semata-mata bahkan telah dikanunkan dalam perundangan dan mengikut prinsip-prinsip Hukum Syara’. Perkara ini boleh dilihat dalam kaedah fiqh Islam yang ada seperti yang dijelaskan oleh al-Sayuti didalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair fi al-Qawaid wa al-Furu’ ” di halaman 354 bahawa;
“Adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam adalah boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah Negara”.
Di dalam kaedah fiqh atau “al-qawaid al-Fiqhiyyah” ia dikenali dengan kaedah “al-Adat Muhakkamah”. Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”. Ini ditakrifkan oleh Abdul Karim Zaidan dalam kitab al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, halaman 252 dan kitab al-Qawaid al-Fiqhiyyah oleh Haji Muhamad Soleh bin Haji Ahmad, Pustaka Haji Abdul Majid di halaman 622.
Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta. Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut. Harta Sepencarian ialah harta yang dimiliki atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha secara langsung atau tidak langsung. Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nisa’, ayat 32;
Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Al-Imam al-Shafie telah berkata didalam kitabnya “al-‘um”, halaman 328;
اذا اختلف الرجل والمراة فى متاعالبيت الذي هما فيه ساكنان وقد افترقا او ماتا او مات احدهما فاختلف ورثتهما او ورثت احدهما بعد موته فذالك كله سواء
Maksudnya: “Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dan seorang perempuan terhadap mata benda atau perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami rumah berkenaan, kerana mereka berpisah (bercerai); atau sekali pun tidak berpisah; atau kedua suami isteri itu meninggal dunia; atau salah seorang daraipada mereka berdua meninggal dunia; yang mana dalam keadaan kedua suami isteri itu meninggal dunia; atau salah seorang daripada mereka berdua meninggal dunia, berlaku pertelingkahan di antara waris kepada kedua-dua pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu dari kedua pihak itu; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya adalah serupa…..?”
Tambahan lagi, Mahkamah juga merujuk kepada pendapat Ibn Qayyim yang menyebut di dalam kitabnya “ Al-Turuq al-hukmiyyah fi al-siyasah al-Syari’iyyah, di halaman 30;
Bermaksud: Yang demikian sebilangan besar Ahli Perundangan (Jumhur fuqaha’) menyatakan kes dakwaan dua orang suami isteri berhubung dengan perabot rumah dan kes dua orang tukang rumah berhubung dengan sebuah kedai, bahawa pendapat yang menyatakan percakapan orang yang ada menunjukkan satu petunjuk di atas kebenarannya itulah yang diterima. Dan yang tepat dalam persoalan seperti ini tidak boleh dianggap semata-mata kerana memegang dengan tangan atau menguasai atas sesuatu harta dengan mendapat nama dalam geran tanah dan sebagainya akan menjadikan haknya seorang sahaja, malah adanya sama seperti ketiadaannya, dan jika ini boleh diterima, nescaya kita akan terima juga pengakuan seorang yang merampas serban daripada seorang yang sedang mengikutinya dibelakangnya dalam keadaan kepalanya terdedah tanpa kain serban. Oleh itu kami memutuskan bahawa ini adalah tangan yang zalim lagi perampas. Maka tidak boleh diterima pengakuannya”.
Al Bajuri pula menjelaskan di dalam “Hasyiah al-Bajuri” Juz. 2, halaman 347 dan 348 bahawa maksudnya;
“Jikalau keduanya mendakwa sesuatu sama ada pada pemilik salah seorang daripadanya, maka kata pemutusnya ialah pemilik itu sendiri dengan sumpah tetapi jikalau ketika itu dalam milik kedua-duanya, maka kedua-duanya hendaklah bersumpah, kemudian barang-barang itu termasuk hamparan yang diduduki dan unta yang ditunggang, dan juga rumah yang didiami”.
Mahkamah juga merujuk kepada Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang 2005 (Enakmen 3) yang mentakrifkan Harta Sepencarian sebagai “Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.
Kuasa Mahkamah dalam memerintahkan harta sepencarian diperuntukkan di dalam Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2005 (Enakmen 3) iaitu :-
122. (1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagi antara pihak-pihak itu.